Beri Ganjaran Wang Kepada Perokok Untuk Berhenti Merokok
Kumpulan anti-perokok di Denmark mencadangkan agar kerajaan Denmark memberi ganjaran wang kepada perokok supaya mereka berhenti tabiat buruk itu. Walaupun cara ini pernah menunjukkan keberkesanan di Amerika, kerajaan Denmark tidak suka idea 'public spending' (pembelanjaan awam).
Yayasan TrygFonden - syarikat di sebalik idea terbabit - telah menerima sokongan daripada Persatuan Kanser Negara Denmark (Kræftens Bekæmpelse).
Rancangan yang dikemukakan adalah untuk meniru usaha Amerika yang menggunakan ganjaran duit untuk menggalakkan orang ramai berhenti merokok.
Teknik ini telah direkodkan oleh New England Journal of Medicine menceritakan bagaimana program terbabit dijalankan kepada pekerja firma Amerika CVS Caremark sebanyak dua kali yang melibatkan dua model.
Dalam model yang pertama, pekerja yang mahu menyertai program terbabit mesti mendepositkan yuran sebanyak US$150(RM598). Jika mereka berjaya berhenti merokok, duit yuran tersebut akan diberikan semula dan ditambah dengan wang sebanyak US$650(RM2,591) sebagai ganjaran. Di dalam model kedua pula tiada deposit diperlukan tetapi wang ganjaran yang diberikan adalah sebanyak US$800(RM3,189).
Mengikut rekod tersebut, sebanyak 57 peratus dari peserta berjaya berhenti merokok sekurang-kurangnya enam bulan menggunakan model pertama manakala penggunaan model kedua pula hanya membuahkan hasil sebanyak 17%.
Tetapi sehingga kini masih belum jelas model mana yang mahu dicadangkan kepada Denmark, tetapi TrygFonden telah menawarkan sokongan kewangan bagi program percubaan.
Jurucakap TrygFonden, Mereta Konnerup memberitahu sebuah akhbar tempatan Denmark, BT, bahawa merokok antara satu masalah kesihatan terbesar di Denmark.
"Ramai yang mahu berhenti, tetapi ianya sukar. Jadi kita mesti berfikiran terbuka dan melihat apa yang boleh kita lakukan untuk membantu mereka", kata Konnerup.
Tambah Konnerup, dengan menggunakan ganjaran wang mungkin boleh mendorong mereka (perokok) mengambil langkah terakhir untuk berhenti merokok.
Bagaimanapun, cadangan ini mendapat tentangan di peringkat politik. Menteri kesihatan, Sophie Lohde memberitahu dua parti terbasar di negara terbabit - Social Democrats dan Danish People's Party - tidak akan menyokong penggunaan dana awam untuk program seperti itu.
"Tabiat merokok bukannya murah jadi jika perokok berjaya berhenti merokok ia sudah dianggap sebagai bonus kepada mereka. Dan saya rasa bukan satu langkah yang tepat untuk menabur wang kepada masyarakat supaya hidup mereka lebih sihat", kata Lohde.- Siakapkeli.my
Sumber : RT.com