KOTA BHARU: Ceramah hudud yang disampaikan Penasihat DAP, Lim Kit Siang di Kota Bharu pada hujung minggu lalu nampaknya mengundang rasa tidak puas hati di kalangan pimpinan PAS.
Selepas Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakub dan Timbalannya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah membidas 'keperluan' Kit Siang bercakap tentang undang-undang Islam itu, kini giliran Mursyidul Am PAS, Datuk Haron Din pula membuka mulut.
"Saya nak bertanya adakah boleh diterima pada akal yang sihat dan amalan akhlak yang paling minimum, bila kita berada di rumah seorang hamba Allah dan kita menyebut perkara yang tidak menyenangkan tuan rumah, adakah akhlak itu baik atau tidak baik.
"Kelantan dan Kota Baharu adalah kubu PAS dan negeri yang akan melaksanakan hudud, maka elokkah pada moral, kita masuk dalam negeri itu dan kita menyebut perkara yang tidak baik mengenai negeri itu di hadapan tuan rumah, kalau ada yang kata baik, silakan, saya mengatakan tidak baik," katanya sebagaimana dilaporkan mStar, hari ini.
Ujar Haron, pemimpin veteran DAP itu harus menjaga sensitiviti mereka yang beragama Islam, memandangkan PAS Kelantan sehingga kini masih berjuang untuk melaksanakannya, di kala terpaksa berdepan dengan golongan yang menentang hudud.
Di dalam ceramahnya pada Ahad lalu, Kit Siang mendakwa belum masanya Malaysia membenarkan pelaksanaan hukuman hudud meskipun majoriti masyarakat adalah yang beragama Islam.
Ahli Parlimen Gelang Patah itu mengambil contoh Jordan dan Mesir yang mempunyai lebih 90 peratus masyarakat Islam, namun tidak mengenakan hudud.
Beliau turut berkata kesemua parti yang bernaung di bawah pakatan pembangkang mesti berpegang kepada kesepakatan bersama yang telah dipersetujui. -Siakapkeli.my