MBSA Nafi Arahkan Kakitangan Tarik Balik Laporan Polis Seperti Yang Disebarkan
Sejak semalam tersebar sebuah berita kononya pihak MBSA telah mengarahkan kakitangannya menarik semula laporan polis yang dibuat terhadap pasangan yang menghalang penjawat awam melakukan tugas di di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh baru-baru ini.
Artikel yang "Video Viral: MBSA Arah Kakitangannya Tarik Balik Laporan Polis, Dakwa Hanya Salah Faham Berkaitan Uniform" nampaknya telah dikongsi ramai orang dan rata-rata yang membaca artikel berkenaan menyatakan rasa berang dan tidak bersetuju dengan tindakan MBSA.
Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam satu kenyataan telah menafikan berita palsu yang disebarkan berkenaan di mana pihaknya tidak pernah mengarahkan kakitangan mereka menarik balik laporan polis berhubung kekasaran dilakukan sepasang suami isteri terhadap anggota penguatkuasanya yang menjalankan tugasan.
Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad dalam satu kenyataan semalam mengesahkan perkara tersebut.
"Setakat ini, tiada makluman sedemikian yang dikeluarkan kepada MBSA,"katanya dipetik laporan Sinar Harian.
Berita palsu berkenaan bukan sahaja berlegar di laman Facebook malahan turut disebarkan menerusi aplikasi WhatsApp mengatakan MBSA atas arahan kerajaan negeri, diminta mengarahkan anggota penguatkuasanya menarik balik laporan polis yang dibuat dan sebagai kakitangan kerajaan negeri, mereka wajib mematuhi arahan tersebut atau tindakan tatatertib dikenakan.
BACA: Halang Penguatkuasa MBSA Jalankan Tugas, Suami Isteri Dijatuhkan Hukuman Penjara 14 Hari
Dalam artikel itu juga mendakwa kejadian berlaku hanyalah salah faham kerana pasangan tersebut menyangka pakaian seragam dipakai anggota penguatkuasa adalah uniform sekolah, selain turut mengaitkan seorang Exco Selangor Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram Dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah akan mewakili pasangan itu serta menawarkan sejumlah ganti rugi sebagai pampasan kepada anggota terlibat.
Dalam artikel palsu itu juga menyatakan perkara berkenaan akan diselesaikan secara dalaman tanpa perlu campur tangan polis, malah MBSA juga akan menukar pakaian seragam anggota penguatkuasanya untuk mengelakkan salah faham.
Sementara itu ADUN Seri Kembangan yang didakwa terlibat, Ean Yong Hian Wah telah tampil menafikan berita berkenaan.
"Satu lagi mesej palsu yang berunsur politik sedang disebarkan di dalam whatapps dan internet," tulisnya yang mengatakan ia adalah niat jahat untuk mensabotaj nama baik partinya dan kerajaan Negeri Selangor.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa bersama seorang rakan setugas sedang menjalankan tugas di kawasan BRP 6/11 Bukit Rahman Putra dan mengeluarkan saman ke atas sebuah kereta yang tidak mempunyai kupon bayaran letak kereta. - Siakapkeli.my
Sumber: Sinar Harian