BATU GAJAH: Seorang wanita yang merupakan seorang pengasuh kanak-kanak telah menjumpai seorang bayi perempuan berumur dua bulan di dalam sebuah kotak belakang rumahnya di Taman Bemban Raya, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohd Nasri Omar, berkata pihak polis telah menerima satu laporan tentang kes buang bayi daripada wanita berknaan dimana dia dikatakan telah menemui bayi tersebut di rumahnya pada jam 8.55 malam.
“Ketika berada di rumah, wanita berkenaan yang bekerja sebagai pengasuh bayi terdengar bunyi pintu belakang rumah di ketuk dengan kuat.
“Wanita berkenaan membuka tingkap rumah untuk melihat dan dapati ada satu kotak berwarna coklat di tepi pintu belakang rumah dan sebaik menghampiri serta membuka kotak berkenaan dia mendapati ada seorang bayi dibalut dengan kain lampin di dalam kotak itu,” katanya dipetik dari BH Online.
Menurut beliau lagi, usia bayi berkenaan dianggarkan berumur dua minggu kerana berdasarkan tali pusat bayi yang sudah kering tetapi masih belum jatuh.
“Bayi perempuan itu memakai baju lengkap dan dibalut dengan kain lampin serta dijumpai dalam keadaan sihat dan tidak ada sebarang kecederaan.
“Polis minta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai bayi berkenaan agar tampil ke mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya. - Siakapkeli.my