Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

"Nak Ambil Ubat Dekat Farmasi Pun Kena Tunggu, Buat Apa Lama-Lama Isi Ubat", Pegawai Farmasi Ini Ada Penjelasannya

24 Okt 2016
No Comment

Setelah selesai membuat pemeriksaan kesihatan di klinik mahu pun hospital, sudah semestinya akan terus ke kaunter farmasi bagi mendapatkan ubat-ubatan yang diperlukan, namun begitu, situasi biasa kembali lagi, masih perlu menunggu giliran hanya untuk mendapatkan ubat sahaja.

Ianya kadang kala, memberi sedikit rasa tidak puas hati, dan sering bermain di fikiran, kenapa boleh lambat dalam memberi ubat kepada pesakit. Sedangkan ubat yang dapat, ada kalanya hanya dua jenis sahaja.

Ingin mengetahui., mengapa situsasi begitu terjadi. Admin ingin kongsikan, langkah-langkah yang perlu dilalui, sebelum ubat boleh sampai kepada pesakit, hasil perkongsian dari saudara Fahmi Hassan. Jom kita baca.


APASAL LEMBAB SANGAT FARMASI NI? TAMPAL LABEL PUN SUSAH KE?

Saya pasti kebanyakan dari kita mempunyai pengalaman berurusan di kaunter farmasi terutamanya di fasiliti kerajaan untuk mengambil ubat-ubatan. Mungkin ramai yang pelik mengapa proses ini mengambil masa yang agak lama. Mungkin artikel ini dapat memberikan sedikit pencerahan terhadap proses-proses belakang tabir yang dilakukan sebelum ubat dibekalkan kepada anda.

Untuk makluman, setakat hari ini, piagam pelanggan di farmasi-farmasi fasiliti kerajaan adalah semua pesakit mendapat bekalan ubat mereka dalam jangkamasa 30 minit setelah pesakit mendapatkan nombor giliran di farmasi. Jangkamasa 30 minit ini terpakai bagi semua fasiliti, tanpa mengambil kira bilangan pesakit yang hadir. Terdapat fasiliti di mana jumlah pesakit yang hadir ke farmasi melebihi 1000 orang sehari!


SARINGAN PRESKIPSI 

Apabila anda menyerahkan preskipsi, pegawai farmasi yang menerima preskipsi anda bukan sekadar merekodkan maklumat anda dan memberi nombor giliran. Pegawai tersebut perlu menyemak semua maklumat di preskipsi anda lengkap dan tepat. Ubat-ubatan perlu disemak mengikut kesesuaian rejimen, dos, kontraiindikasi terhadap pesakit dan sebagainya.

Sekiranya terdapat masalah pada preskipsi tersebut, pegawai farmasi akan menghubungi semula doktor yang merawat anda dan berbincang mengenai rawatan yang diberikan. Sekiranya terdapat isu yang tidak dapat diselesaikan melalui panggilan telefon, anda mungkin diminta untuk berjumpa semula doktor yang merawat.

Perkara ini bukanlah satu karenah birokrasi yang sengaja diwujudkan untuk menyusahkan pesakit. Prosedur ini merupakan kaedah standard yang digunapakai di seluruh dunia bagi memastikan KESELAMATAN pesakit terjamin. Segala risiko KESILAPAN PENGUBATAN perlu diminimakan.


PRA-ISI UBAT 

Setelah preskipsi anda disaring, preskipsi anda akan dihantar ke belakang kauntar untuk proses pra-isi ubat. Anggota yang terlibat, samaada pegawai atau penolong pegawai farmasi akan memilih ubat-ubatan yang diperlukan berdasarkan preskipsi dan kuantiti kasar yang diperlukan. Di dalam sebuah farmasi, terdapat ratusan ubat-ubatan yang di simpan. Oleh itu, proses ini perlu dilakukan dengan berhati-hati untuk mengelakkan sebarang kesilapan.

Kebanyakan farmasi mempunyai sistem yang baik untuk menyusun ubat-ubatan bagi memudahkan carian dan mengelakkan kesilapan. Ubat-ubatan dengan nama yang hampir sama, atau bungkusan yang hampir serupa akan mempunyai label-label khas. Anggota yang bertugas perlu dilatih dengan cekap untuk membiasakan diri dengan lokasi ubat dan sistem.


SEMAK SILANG, PENGISIAN DAN PELABELAN 

Bekas yang sudah di pra-isi akan diserahkan kepada anggota yang berbeza. Ini untuk membolehkan proses semak silang dilakukan. Semakan yang dilakukan oleh anggota yang berbeza akan menjadikan proses semakan yang dilakukan lebih berkesan.

Sekiranya tiada kesilapan, ubat akan diisi ke dalam bungkusan yang bersesuaian. Ubat-ubatan akan dikira atau disukat mengikut kuantiti yang diperlukan. Proses pelabelan ubat juga akan dilakukan. Label yang disediakan perlulah jelas dan mudah difahami selain mempunyai semua maklumat yang diperlukan seperti yang ditetapkan oleh undang-undang.


SEMAK SILANG 

Ubat yang telah siap diisi dan dilabel sekali lagi akan disemak oleh anggota yang berbeza untuk memastikan ubat yang di dalam bungkusan adalah ubat yang sama ditulis pada label. Selain itu, ubat-ubatan tersebut perlulah menepati preskripsi pesakit dari segi jenis ubat, dos dan kuantiti yang diperlukan.


PENDISPENSAN 

Setelah dipastikan tiada kesilapan pada ubat yang disediakan, ia bermaksud ubat tersebut telah sedia untuk didispen kepada pesakit. Pegawai farmasi yang berbeza akan mendispen ubat tersebut kepada pesakit. Sebelum pesakit dipanggil, ubat-ubatan akan disemak sekali lagi untuk kali terakhir.

Apabila nombor giliran pesakit dipanggil, kebiasaannya pegawai tersebut akan bertanya nama pesakit. Mungkin ada yang hairan kenapa perlu ditanya nama pesakit sedangkan maklumat tersebut ada ditulis di atas preskripsi.

Sebenarnya pegawai farmasi ingin memastikan nama pesakit yang dipanggil sama dengan apa yang ditulis di atas preskripsi. Ini untuk mengelakkan kesilapan di mana pesakit menerima preskripsi milik pesakit lain. Oleh itu, jangan marah sekiranya pegawai farmasi ingin ‘berkenalan’ dengan anda

Sewaktu mendispen, pegawai akan merujuk kepada preskripsi. Arahan pada label akan dipastikan sama dengan apa yang dikehendaki di atas preskripsi. Selain itu, pegawai farmasi juga bertanggungjawab memastikan pesakit faham dengan aturan pemakanan yang diterangkan. Mereka juga perlu menerangkan maklumat-maklumat lain yang berkaitan.

Sekiranya didapati pesakit memerlukan penerangan yang lebih terperinci, pesakit akan diminta untuk ke bilik kaunseling ubat-ubatan. Di sini, sesi penerangan ubat-ubatan boleh dilakukan dengan lebih tenang dan privasi.


Seperti yang diterangkan, terdapat banyak proses yang dilalui sebelum ubat dibekalkan kepada pesakit. Bagi seorang kakitangan jabatan farmasi, pembekalan ubat dengan pantas bukanlah matlamat utama. Apa yang penting adalah pesakit menerima ubat-ubatan yang TEPAT dan BETUL seperti yang dipreskib oleh doktor bagi memastikan KESELAMATAN dan KESIHATAN pesakit terjamin. -Siakap Keli

BACA: Batuk Berterusan, Tapi, Sukar Untuk Memakan Ubat, Ikuti Tips Ini Dalam Merawat Batuk Tanpa Ubat
Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.
Blogger ( 0 ulasan )

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli
" "