Kren Tumbang Di Masjidil Haram Bukan Buatan China
MAKKAH: Tragedi berdarah di mana sebuah kren pembinaan telah tumbang di Masjidil Haram petang Jumaat lalu telah menimbulkan pelbagai ura-ura dan cerita panas di kalangan pengguna media sosial di Arab Saudi.
Antara topik yang hangat diperkatakan adalah ramai mereka mempersoalkan kualiti kren berkenaan sehingga tersebar khabar angin bahawa konon jentera berat tersebut adalah buatan dari China.
Kerana khabar angin berkenaan kerajaan China telah menyangkal dakwaan bahawa kren berkenaan adalah produk mereka.
Di sebalik penafian itu pengeluar sebenar jentera berkenaan, Liebherr, sebuah firma perusahaan berat Jerman yang berpangkalan di Switzerland telah tampil menjernihkan keadaan.
“Kren ini memang milik syarikat kami, daripada jenis LR 13000 dihasilkan di kilang Ehingen di Jerman,” ujar Kristian Kueppers, jurucakap Liebherr, yang dipetik portal Arabnews.com pada 14 September.
Syarikat berkenaan menyampaikan rasa simpati dengan kejadian tersebut kerana meragut nyawa ramai jemaah dan cedera berikutan kren setinggi 246 meter itu tumbang minggu lalu.
“Pasti ada banyak sebab kren ini tumbang. Ketika ini, Liebherr masih belum dapat memberi apa-apa maklumat apakah punca sebenar jentera itu boleh tumbang. Kami masih menunggu hasil siasatan rasmi,” kata Kueppers.
Menurutnya lagi, Model LR 13000 adalah kren paling tinggi di dunia dengan berat 3,000 tan dan berkeupayaan mengangkat beban sehingga 947 tan selain dikatakan tahan uji serta lasak dalam apa sahaja keadaan cuaca ekstrem sekali pun.
.
Kren besar yang bernilai AS$26 juta (RM112 juta) telah tumbang pada petang Jumaat lalu di mana ia telah mengorbakan 111 orang dan 331 orang cedera termasuk mangsa dari kalangan bakal jemaah haji Malaysia. - Siakapkeli.my