Dua Jemaah Haji Yang Hilang Sah Terkorban Dalam Kejadian Kren Runtuh Di Makkah
Abdul Habib Lahman, 68 dan Shahidan Saad, 52 yang hilang dalam kejadian kren runtuh di Makkah 11 September lalu disahkan terkorban dalam kejadian itu.
Hal itu dimaklumkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang memaklumkan pada 10 malam (waktu Arab Saudi) bersamaan jam 3 pagi tadi pihak berkuasa Arab Saudi memaklumkan kepada Tabung Haji (TH) berhubung penemuan dua lagi mayat.
Pihak perubatan TH bergegas ke rumah mayat Muaissem untuk membuat pengecaman dan pengesahan awal.
“Sejurus selepas itu waris dibawa ke rumah mayat untuk tujuan pengesahan.
“Jenazah disahkan oleh waris dan disokong oleh identifikasi yang masih ada pada jenazah khususnya, gelang, lencana dan barangan peribadi,” katanya pada sidang medianya, sebagaimana dilaporkan Harian Metro.
Proses pengurusan jenazah akan dipercepatkan oleh pihak Muassasah dan TH. -Siakapkeli.my