Bimbang Tunjuk Perasaan Diadakan Lagi, Ramai Peniaga Di Petaling Street Tutup Kedai Esok
KUALA LUMPUR: Penganjur Himpunan Merah dikatakan sekali lagi akan mengadakan tunjuk perasaan di Jalan Petaling pada esok.
Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kuala Lumpur, Datuk Ang Say Tee berkata kira-kira 400 daripada 773 peniaga takut akan berlaku huru-hara seperti mana yang berlaku pada himpunan baju merah, 16 September lalu.
"Ahli-ahli telah menghubungi saya dan bertanya jika mereka perlu tutup kedai pada hari Sabtu. Mereka bimbang perniagaan akan terganggu.
"Saya nasihatkan mereka supaya membuat laporan polis. Kami takut sebab kami menjalankan perniagaan," kata Say Tee.
Sebelum ini Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos memberitahu satu lagi kekecohan akan berlaku di Jalan Petaling pada Sabtu jika tuntutan kumpulan itu tidak dipenuhi.
Mereka menuntut kementerian untuk bertindak terhadap penjualan barang-barang di Petaling Street yang dikatakan tiruan dan para peniaga perlu berkongsi sebahagian daripada pendapatan mereka dengan kaum lain dan berhenti memonopoli kawasan itu.
Dan jika pihak berkuasa tidak mengambil tindakan, perhimpunan lain akan dibuat, sambil menambah rusuhan juga mungkin boleh berlaku.
Say Tee dalam pada itu menegaskan hanya pihak berkuasa sahaja yang bertanggungjawab mengambil tindakan terhadap peniaga jika benar wujud dakwaan terdapat barangan palsu atau tiruan yang dijual.
"Jika kami buat salah, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), polis atau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan perlu mengambil tindakan terhadap kami, bukan mereka," katanya. -Siakapkeli.my