Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

''Saya Kagum, Semasa Hayatnya Dia Telah Mencatatkan Ratusan Kuliah Dan Ceramah Saya'', Kisah Lelaki Soleh Ini Buat Jiwa Doktor Maza Sebak Dan Sayu

1 Mei 2018
2 ulasan

Menyebarkan ilmu yang bermanfaat atau sesuatu kebaikan kepada orang ramai membawa ganjaran pahala yang besar. Tambahan lagi, jika ilmu yang kita berikan digunakan sebagai panduan dalam kehidupan harian dan menjadi asbab kepada kebaikan orang lain.

Mufti Perlis, Dato' Dr. Mohd Asri Zainul Abidin atau lebih dikenali dengan panggilan Dr Maza melalui Page Facebook beliau DrMAZA.com tampil berkongsi kisah yang menyentuh hatinya. 

Seorang anak muda semasa hayatnya setiap hari mencatat nota dari kuliah ilmu yang diberikan oleh beliau. Apabila dia telah 'pergi', ratusan nota dan ceramah itu kemudian dihimpunkan dan dijadikan sebagai wasiat untuk diberikan semula kepada 'sang guru'.

Jom kita ikuti kisah ini. Moga sedikit sebanyak kebaikan yang kita sampaikan menjadi ganjaran pahala di akhirat kelak.

YANG MENGAGUMI LEBIH BAIK DARIPADA YANG DIKAGUMI


Lebih kurang seminggu yang lepas, seorang wanita dari Lembah Klang menghubungi pejabat saya dan meminta untuk bercakap dengan saya. PA saya memaklumkan dan saya pun mengizinkan untuk talian disambung. 

Wanita tersebut memberitahu satu kisah yang menjadikan jiwa saya sayu dan kerdil. Beliau memberitahu bahawa anak beliau dua bulan lepas kemalangan jalanraya dan meninggal dunia. Katanya, semalam ketika dia mengemaskan barang-barang di bilik arwah anaknya itu, terdapat nota wasiat yang arwah anaknya itu meminta agar barang-barang miliknya diberikan kepada saya. Saya terkedu mendengar cerita beliau itu sebab saya tidak pernah mengenali anaknya.


Ibunya itu memberitahu lagi bahawa anaknya bertugas di sebuah masjid utama di Selangor. Semasa hayatnya boleh dikatakan setiap hari anaknya itu mendengar dan menonton kuliah ataupun ceramah saya di internet.

Ibunya itu memohon maaf kepada saya kerana dia baru sahaja berjumpa dengan wasiat tersebut. Kebanyakan barangan anaknya sudah pun dia berikan kepada orang lain sebelum itu. Dia juga berkata yang dia percaya saya tidak memerlukan barangan tersebut. Ia hanya buku-buku biasa dan nota-nota catatan allahyarham. Namun, itu adalah wasiat anaknya. Dia harap saya dapat terima.

Saya memberitahunya saya amat bersedia menerima apa sahaja yang anaknya itu ingin berikan kepada saya. Saya menawarkan diri untuk pergi mengambilnya sendiri di rumahnya di Shah Alam jika saya berada di Lembah Klang nanti. Dia memberitahu saya, dia ingin mengirimkannya kepada saya secara pos.

Alhamdulillah, semalam sebuah kotak agak besar dihantar ke pejabat saya. Saya membukanya. Dalamnya turut ada warkah daripada ibunya.


Saya amat kagum dengan isi kotak itu. Allahyarham telah mencatatkan ratusan kuliah dan ceramah saya sejak dahulu. Kertas-kertas ada yang baru dan lama. Ada juga yang sudah lusuh dan bertampal. Ada dalam bentuk fail dan ada dalam buku tulisan biasa. Jumlahnya banyak. Nama saya dari Ustaz Asri, Dr Asri, Dr MAZA, sehingga Dato’ Dr MAZA. Bererti beliau mengikutinya dari zaman saya masih muda sehingga sekarang. Sangat banyak dan tekun.


Saya yakin jika seseorang mendengar kuliah sebanyak itu berterusan tanpa henti, ia memakan masa berbulan-bulan lamanya. Entah berapa ratus atau ribu kali nama saya beliau tulis dalam pelbagai warna dengan baiknya. Juga ratusan tajuk ceramah serta kuliah saya yang dicatatkan. Saya rasa sudah bertahun-tahun yang lama beliau mencatatkan semua itu. Walaupun ibunya memberitahu dia kerja biasa sahaja, namun kesungguhannya amat luar biasa.


Ini hanya 25 peratus dari keseluruhan bahan beliau kerana yang lain telah ibunya berikan kepada pihak lain. Itupun, sehingga saat nota ini saya tulis, saya hanya sempat melihat sebahagian sahaja dari 25 peratus tersebut.


Saya Malu… Ia menjadikan saya termenung malu seketika. Pertamanya, betapa dia bersangka baik kepada saya dan dalam masa yang sama betapa Allah menutupi kelemahan diri saya sehingga dia bersangka baik ke tahap itu.

Kedua, saya percaya dia seorang yang baik dan soleh di sisi Allah, sementara saya hanya hamba Allah yang penuh dengan kelemahan dan dosa. Saya sebenarnya yang memerlukan doa orang sepertinya, bukan dia yang memerlukan doa daripada saya.

Ini mengingatkan saya kepada ucapan Nabi s.a.w semasa Haji Terakhir baginda. Antara yang Nabi s.a.w bersabda ketika itu:

فَلْيُبَلِّغِ الشَّاهِدُ الغَائِبَ فَرُبَّ مُبَلَّغٍ أَوْعَى مِنْ سَامِعٍ

Ertinya: “Hendaklah yang hadir menyampaikan (ajaran ini) kepada yang tidak hadir. Maka boleh jadi orang disampaikan itu lebih ingat dan faham dibandingkan yang mendengar (secara langsung daripada Nabi s.a.w) [Riwayat al-Bukhari]

Dalam konteks kisah ini, saya menyebut “boleh jadi orang mengagumi itu jauh lebih baik dibandingkan orang yang dikagumi”. Dia lebih baik dibandingkan saya dilihat kepada kesungguhannya.

Ketiganya, dia mungkin terpesona dengan setitis ilmu yang mungkin ada pada saya. Namun, itu bukan bererti saya lebih baik daripadanya. Saya hanya berlindung di balik Sifat Pemurah Allah dan kurniaan Allah Yang Menutupi keaiban hamba-hambaNYA. Saya teringatkan kata-kata al-Qadi Abu Bakr Ibn al-‘Arabi (meninggal 543H), tokoh ulama Andalusia yang terbilang. Dia menyebut dalam karyanya Ahkam al-Quran:

وَكُنْت أَشْرَبُ مَاءَ زَمْزَمَ كَثِيرًا، وَكُلَّمَا شَرِبْته نَوَيْت بِهِ الْعِلْمَ وَالْإِيمَانَ حَتَّى فَتَحَ اللَّهُ لِي بَرَكَتَهُ فِي الْمِقْدَارِ الَّذِي يَسَّرَهُ لِي مِنْ الْعِلْمِ، وَنَسِيت أَنْ أَشْرَبَهُ لِلْعَمَلِ؛ وَيَا لَيْتَنِي شَرِبْته لَهُمَا، حَتَّى يَفْتَحَ اللَّهُ عَلَيَّ فِيهِمَا ، وَلَمْ يُقَدَّرْ؛ فَكَانَ صَغْوِي إلَى الْعِلْمِ أَكْثَرَ مِنْهُ إلَى الْعَمَلِ، وَنَسْأَلُ اللَّهَ الْحِفْظَ وَالتَّوْفِيقَ بِرَحْمَتِهِ


“Aku pernah minum Air Zam-Zam begitu banyak. Setiap kali aku minum, aku niat (memohon) ilmu dan iman sehingga Allah membuka bagiku keberkatan pada satu kadar ilmu pengetahuan yang DIA memudahkannya untukku. Aku terlupa untuk niat meminumnya (memohon) amalan soleh. Alangkah indahnya jika aku niat meminumnya untuk keduanya (ilmu dan amal) agar Allah membukakan untukku keduanya. Itu tidak berlaku. Maka kecenderunganku ini kepada ilmu lebih banyak dibandingkan amal. Kita memohon kepada Allah pemeliharaan dan bimbingan dengan rahmatNYA”. [98/3. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah]

Al-Qadi Abu Bakr Ibn al-‘Arabi mungkin menyebut kata-katanya itu atas dasar tawaduk dan merendah diri. Sementara saya menyebutnya secara hakikat bahawa yang zahir ialah kefasihan bicara bukanlah kefasihan amalan soleh. Kepada Allah dipohonkan bimbingan dan petunjuk.

Namun, dalam masa yang sama saya berdoa agar jikalau ada sedikit sebanyak kabaikan apa yang saya sampaikan, Allah berikanlah saya pahala disebabkan orang-orang yang seperti beliau itu.

Akhirnya, saya memohon jasa sesiapa yang mendengar kuliah, ceramah dan ucapan saya agar dengan ikhlas berdoa kepada Allah agar saya benar-benar dimasukkan ke dalam kalangan hamba-hambaNYA yang soleh.

Jika anda terasa ada sedikit sebanyak kebaikan dari usaha saya yang maha sedikit itu, sumbanglah doa ikhlas anda untuk saya. Demikian juga marilah kita berdoa kepada arwah yang telah mengirimkan barangannya itu kepada saya, semoga dia ditempatkan dalam kalangan hamba-hamba Allah yang solihin. Amin.

Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.
Blogger ( 2 ulasan )
  1. Kalah melulu main di agen lain? Kecewa dengan agen lain?
    Daftar disini saja Upd4te Bett1ng

    BalasPadam
  2. agen365 menyediakan game : sbobet, ibcbet, casino, togel dll
    ayo segera bergabung bersama kami di agen365*com
    pin bbm :2B389877

    BalasPadam

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli
" "