"Impian mak untuk meninggal dunia di Mekah termakbul," itulah kata-kata yang terkeluar daripada mulut anak ketiga Allahyarham Rusiah Suar, 56, ketika ditemui oleh kru Astro Awani di rumahnya di Felda Besout 2, Sungkai, Perak.
Rusiah Suar adalah jemaah haji Malaysia yang telah disahkan terkorban dalam tragedi kren runtuh di Masjidil al-Haram Jumaat lalu.
Menurut Hariyanti Ahmad Badri, 31, mereka redha pemergian ibu tersayang berkenaan dan menganggap apa yang terjadi itu adalah ketentuan Allah.
"Dia tidak banyak bercakap beberapa hari sebelum berangkat ke Mekah. Kami ingatkan dia fokus hendak pergi menunaikan ibadat haji.
"Dia ada beritahu, emak teringin sangat hendak meninggal di sana (Mekah). Senang semua. Kami cakaplah jangan cakap macam itu emak, kita hendak pergi jauh.
"Sebagai anak saya sedih atas pemergiannya, tetapi kami reda sebab perkara itu memang diidamkan oleh umat Islam," katanya dipetik dari Astro Awani, malam tadi.
Menurut beliau lagi, berita tentang kematian ibunya itu telah dimaklumkan oleh pihal Lembaga Tabung Haji (TH) yang telah datang ke rumah mereka kira-kira 7.45 malam tadi.
"Pihak Tabung Haji memberitahu menemui mayat ibu di sebuah hospital di Makkah, namun mereka tidak memaklumkan bagaimana insiden itu berlaku," katanya.
Beliau turut dimaklumkan oleh pihak TH bahawa mereka akan menguruskan proses pengebumian ibunya di Mekah.
Hariyanti memberitahu berita pertama tentang keadaan ibunya itu telah dimaklumkan oleh rakan sebilik ibunya bahawa arwah rebah dan pengsan ketika insiden itu berlaku.
"Selepas menerima berita insiden itu, saya meminta suami menelefon kawan ibu saya untuk bertanya keadaan yang berlaku dan dia memberitahu ketika melakukan saei, kren jatuh mak saya terus rebah.
"Ketika itu, kawan-kawan emak hendak tolong tetapi orang di sana tidak benarkan. Selepas itu kawan-kawan emak terus terputus hubungan dengan emak," katanya. - Siakapkeli.my