PUTRAJAYA: Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo hari ini dijatuhkan hukuman penjara selama setahun atas kesalahan menggunakan kuasanya untuk memperolehi tanah dan banglo di Shah Alam.
Bekas ADUN Sungai Panjang itu akan menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang.
Sebelum ini pada 22 September lalu peguam bela Mohamad Khir, iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah meminta mahkamah mengenakan denda atau memerintahkan beliau menjalani program khidmat masyarakat.
Namun Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Makinudin memutuskan hukuman penjara dan menyifatkan program khidmat masyarakat tidak sesuai dengan kesalahan itu.
Pada 22 September lalu, panel itu mengekalkan sabitan bersalah terhadap Dr Mohamad Khir selepas menolak rayuannya.
Mahkamah turut mengekalkan keputusan melucut hak hartanah itu dan diserahkan kepada kerajaan tertakluk kepada caj oleh pihak bank.
Dr Mohamad Khir sebelum ini dipenjara 12 bulan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Disember 2011 dan hukuman itu dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 30 Mei 2013. -Siakapkeli.my