KUALA LUMPUR: Mengulas komen peminat yang sering kritikan meminta dia bertudung, penyanyi dangdut, Amelina, berkata dia masih belum bersedia bertudung kerana keadaan ekonominya yang masih belum stabil.
Amelina atau Nurazlina Amir Sharifuddin, 41, bagaimanapun meminta agar peminat mendoakan dia berubah kearah itu.
"Ramai yang komen dan bertanya kenapa saya tidak bertudung lagi sedangkan ramai artis dangdut yang seangkatan saya sudah pun berhijab.
"Bagi saya mereka yang berhijab itu kebanyakannya sudah stabil dan tidak perlu cari makan lagi dalam industri, sedangkan kedudukan saya belum stabil lagi.
”Namun saya minta mereka doakan saya untuk berubah ke arah itu," ujarnya memetik laporan dari mStar Online.
Amelina berkata dia terkejut dengan perkembangan dunia sosial yang tidak terbatas pada awal kemunculan semulanya pada tahun lalu. Malah dia turut meminta nasihat dari rakan artis bagi berhadapan situasi ini.
"Mula-mula saya terkejut dan marah apabila baca komen-komen di internet yang mengutuk tanpa memikirkan perasaan orang lain.
"Saya bertanya kepada Maya (penyanyi) dan kawan-kawan lain dan mereka ada nasihatkan saya untuk bersabar kerana media sekarang sudah berbeza.
"Mereka kata kalau media sosial ini ada pada zaman popular saya dahulu sudah tentu gosip saya yang dahulu-dahulu akan jadi topik dan kontroversi utama," ujarnya.
Mengulas tentang keluarga dan anak-anak, Amelina berkata anak-anaknya masih belum bersedia untuk berhadapan dengan media. Dia juga lebih selesa anaknya-anaknya tidak terlibat dalam dunia seni.
"Biar saya sahaja yang terlibat dalam dunia seni, saya tidak mahu mereka dikecam dan jadi topik perbualan di laman sosial.
"Saya pun tidak galakkan untuk mereka jadi penyanyi dan ceburi bidang seni," ujarnya. - Siakapkeli.my