Berjuta-juta 'Askar Nyamuk' Akan Dilepaskan Untuk Perangi Virus Zika di Brazil & Colombia
Saintis merancang untuk melepaskan berjuta-juta 'askar nyamuk' yang sudah dimodifikasi di kawasan-kawasan di Brazil dan Colombia bagi memerangi virus yang disebarkan melalui nyamuk, terutamanya virus Zika dan chikungunya.
Menurut mereka, pendekatan luar biasa ini adalah satu cubaan untuk memberi 'perlindungan berevolusi' terhadap penyakit-penyakit yang disebarkan melalui serangga berkenaan.
Nyamuk-nyamuk ini dijangkiti dengan sejenis bakteria yang dipanggil Wolbachia - yang mampu mengurangkan keupayaan mereka untuk menyebarkan virus kepada manusia.
Projek bernilai $18 juta itu dibiayai oleh kumpulan penderma antarabangsa, termasuk Bill and Melinda Gates Foundation (Bill Gates).
Skim ini - yang dijangka akan bermula pada awal 2017 - turut dibiaya oleh kerajaan tempatan di Amerika Latin, US dan UK.
Wolbachia adalah bakteria natural yang menjangkiti 60% dari spesis serangga seluruh dunia, tapi bakteria itu tidak akan memberi kesan kepada manusia, kata saintis.
Menurut mereka juga, bakteria itu biasanya tidak menjangkiti nyamuk Aedes aegypti tapi sejak sedekad lalu pengkaji yang bekerja untuk program Elimate Dengue berjaya menemui jalan untuk memasukkan bakteria itu ke dalam nyamuk Aedes.
Dan berdasarkan percubaan kecil di Brazil, Colombia, Australia, Indonesia dan Vietnam, didapati nyamuk yang sudah dimodifikasi itu berjaya mengekang penyebaran denggi ke atas manusia.
Hasil yang sama diperoleh untuk virus Zika dan chikungunya dalam ujian makmal.
Dr. Trevor Mundel dari Bill and Melinda Gates Foundation berkata: "Wolbachia boleh menjadi pelindung berevolusi terhadap penyakit yang disebarkan menerusi nyamuk.
"Ianya murah, mampan dan dilihat mampu memberikan perlindungan dari Zika, denggi dan virus-virus lain.
"Kami tidak sabar untuk mengkaji kesannya dan bagaimana ia boleh membantu negara-negara lain."
Saintis berkata selepas nyamuk-nyamuk yang sudah dimodifikasi ini dilepaskan, ia akan membiak dengan nyamuk asal seterusnya memberikan bakteria itu kepada generasi seterusnya.
Mereka akan memantau program itu dengan teliti selama tiga tahun akan datang untuk memeriksa sama ada kes demam denggi, Zika dan chikungunya menurun. - Siakapkeli.my
Sumber: BBC